Monday, April 18, 2011

~ Kesan Perceraian ~

Oleh NURBAQIS HAYATI AHMAD NAJIH

Sejak daripada kejadian Adam a.s. lagi Allah s.w.t. telah mengajarkan Adam a.s.cara-cara perhubungan yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia iaitu hubungan antara lelaki dan perempuan melalui ´perkahwinan´ sebagai petunjuk dan panduan kehidupan manusia.

Maka sejak itulah bermulanya perkembangan manusia di bumi iaitu melalui perkahwinan dan proses perkahwinan inilah yang dapat membezakan antara manusia dengan haiwan. Sehingga wujudnya suatu sistem perkahwinan yang lengkap dan tersusun rapi yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang tertulis dan tercatat dalam al-Quran.

Perkahwinan merupakan faktor utama bagi mewujudkan institusi kekeluargaan kerana dari permulaan proses perkahwinan iaitu memilih pasangan, pertunangan, mas kahwin, wali, saksi, ijab kabul dan hubungan kekeluargaan serta tanggungjawab suami isteri, ibu bapa dan anak-anak semuanya berkaitan antara satu sama lain dan mesti berlandaskan ajaran dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Jadi sebagai pasangan yang berkahwin semestinya inginkan perkahwinan yang dibina kekal sehingga ke akhir hayat. Bagaimanapun tidak semua yang kita inginkan akan menjadi kenyataan kerana banyak halangan dan cabaran yang ditempuhi sepanjang tempoh perkahwinan itu sehingga terjadinya penceraian.

Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya penceraian dalam sesebuah perkahwinan. Antaranya ialah ketidaksefahaman dan kurangnya sifat tolak ansur antara suami isteri. Penceraian juga mungkin berlaku disebabkan oleh pasangan masing-masing yang tidak dapat memuaskan tuntutan kehendak semasa melakukan hubungan seksual. Selain itu faktor ekonomi dan jurang pendapatan juga menjadi punca penceraian, dan paling utama jika si suami tidak bertanggungjawab dan mendera isteri atau isteri yang berlaku curang dan lain-lain faktor lagi.

Penceraian merupakan sesuatu yang dibenarkan oleh Islam walaupun tidak sukai oleh Allah. Ini merupakan jalan terakhir sekiranya tiada jalan penyelesaian ataupun perdamaian yang dicapai serta perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan lagi dan khuatir perkara-perkara lain yang tidak baik akan terjadi barulah penceraian ini dilakukan.

Seperti firman Allah dalam al-Quran, “Dan jika seorang wanita melihat kesalahan suaminya atau telah berpaling hatinya, maka tiada berdosa keduanya, jika keduanya mengadakan perdamaian antara keduanya. Berdamai itulah terlebih baik daripada bercerai .Memang manusia itu bersifat kikir. Jika kamu berbuat baik kepada isterimu dan bertaqwa, sungguh Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah An-Nisa´: 128)
Penceraian membawa banyak kesan negatif bukan sahaja kepada suami isteri malah anak-anak juga merasa bahang panas akibat daripada penceraian ibu bapa. Maka dengan sebab itu penceraian ini merupakan cara terakhir sekali dan sangat tidak digalakkan dalam islam.

Antara kesan akibat penceraian ialah kesan emosi terhadap pasangan seperti perasaan sedih, jiwa terganggu, rasa tidak bermaya, marah, rungsing dan kecewa serta kesunyian akan membebani perasaan pasangan yang bercerai. Malahan kesan ini juga turut dirasai oleh ahli keluarga dan orang yang terdekat dengan mereka.

Selain itu, mereka yang melalui proses penceraian juga akan dibebani dengan tanggungjawab yang lebih berat dan mungkin akan timbul masalah kewangan. Ini lebih dirasai oleh si isteri jika dia bergantung sepenuhnya kepada suami untuk perbelanjaan harian.
Malah kesan yang paling ketara dan sangat membimbangkan ialah kesan terhadap anak-anak.

Mereka menjadi mangsa keadaan dan mengalami tekanan perasaan yang sangat mendalam dalam proses pembesaran. Mereka mengalami ganguan emosi kerana kurang mendapat kasih sayang serta mereka juga kurang mendapat perhatian dan bimbingan daripada kedua-dua ibu bapa setelah penceraian berlaku.

Oleh kerana itu, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membantu anak-anak menghadapi kenyataan bahawa mereka tidak dapat bersama seperti dulu lagi atau telah berpisah. Jangan menganggap anak-anak tidak tahu apa-apa, mereka masih mentah kerana setiap apa yang berlaku melibatkan kehidupan mereka kerana anak-anak adalah sebahagian daripada ahli keluarga.

Ibu bapa harus bijak menangani perasaan sedih yang dialami oleh anak-anak serta elakkan perbalahan sekiranya terpaksa bersua muka dengan bekas pasangan hidup masing-masing. Berilah peluang kepada anak-anak untuk meluahkan apa yang terpendam dalam hati mereka dan pandangan mereka akibat daripada penceraian ini.
Jangan biarkan anak-anak melalui hidup tanpa ada kawalan atau perhatian kerana ini akan menjadikan mereka hilang arah tujuan dan hanyut seperti kata perpatah Melayu “ibarat layang-layang terputus tali” dan “seperti anak ayam kehilangan ibu” - merata perginya tanpa ada tujuan dan pedoman hidup.

Jadi sebagai suami isteri atau pasangan yang ingin berkahwin mantapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan tahu tanggunjawab yang mesti dipikul di atas bahu masing-masing kerana bukan mudah untuk menempuh alam perkahwinan.

Mengapa mesti terjadinya perpisahan dan penceraian sekiranya perkahwinan yang dibina berdasarkan cinta atau pilihan ibu bapa? Mengapa terjadi perpisahan terhadap perkahwinan yang dirasakan begitu sempurna, malah telah mengikut segala hukum-hakam yang telah ditentukan oleh agama dalam mencari ciri-ciri dan calon hidup? Jangan lupa juga bahawa kita telah berusaha untuk mejadi pasangan yang sempurna dan bertanggungjawab.

Namun semuanya adalah ketentuan Allah. Kita hanya mampu merancang dan berusaha.

No comments:

Post a Comment