Allah jadikan telinga punya tujuan. Lantas, ibu bapa perlulah didik anak agar menggunakan telinga untuk tujuan yang betul. Sejak dari awal lagi ibu bapa berlu membuat persediaan untuk mendidik anak menggunakan teliga dan segala pancaindera dengan betul. Suatu yang pasti, pasangan ibu bapa perlu membuat persediaan awal sebelum menyambut kelahiran anak. Persediaan yang penting bukan sahaja dari sudut kewangan dan kesihatan, bahkan juga dari sudut kerohanian dan pendidikan. Keinsafan ibu dan bapa tentang besarnya tanggungjawab sebagai pendidik dan ketua perlu ditanam agar anak yang lahir nanti menerima layanan dan asuhan yang sepatutnya. Antara persediaan awal termasuklah mendedahkan kepada janin dengan alunan yang murni di samping bersedia memilih nama yang sesuai untuk anak itu. Seseorang anak sudah perlu dididik ketika dia masih dalam kandungan ibunya. Walau pun anak itu belum mampu berkata-kata atau melihat, namun dia dipercayai sudah boleh mendengar, merasai dan menerima gelombang perasaan dari ibunya atau orang-orang yang berhampiran. Oleh yang demikian, ibu dan bapa digalakkan banyak menenangkan perasaan dengan membaca al-Quran, berzikir dan bertafakur. Ayat-ayat suci yang dibacakan itu dapat mendamaikan hati ibu seterusnya membantu perkembangan jiwa murni anak. Suara bacaan al-Quran juga mampu mendatangkan barakah dan rahmah dalam pembentukan anak. Bahkan ada juga yang berpendapat pengaruh pengajaran yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran yang dialunkan itu mampu menyelinap masuk ke dalam sanubari janin, lantas membentuh potensi peribadi soleh sebagaimana terkandung dalam pengajaran ayat itu. Sebab itulah, terdapat gesaan agar anak dalam kandungan tadi diperdengarkan bacaan Surah Luqman yang mengandungi pengajaran-pengajaran ke arah menjadi anak soleh, di samping surah-surah lain seperti Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insyirah, Surah Al-Alaq, Surah Maryam dan Surah Yusuf. Si ibu juga dianjurkan agar bertaubat dan membersihkan jiwa serta mengelakkan dari terjebak dalam maksiat dan lagha sepanjang mengandung. Perasaan ibu perlulah damai. Jika tertekan, bayi boleh menjadi lemah. Wujudkan suasana girang, gembira dan syukur. Elakkan kemuraman, pertengkaran dan kalimah-kalimah yang kotor. Oleh itu peranan bapa selaku lelaki yang paling hampir dengan ibu amatlah penting. Bahkan bapa disarankan juga perlu bergilir-gilir membaca al-Quran dan berzikir bagi menceriakan halwa telinga anak yang di dalam kandungan. Harap kita semua boleh laksanakan, agar nanti kita dapat anak-anak yang soleh dan solehah - bukan anak-anak yang derhaka pada kita.
No comments:
Post a Comment